Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah
meluluskan usul perlantikan Jawatankuasa Kira-kira Awam (Public Accounts
Committee) pada 4-7-2013. Perlantikan
ini sejajar dengan Peraturan 109A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan
Undangan Negeri Pulau Pinang.
Berpandukan mandat dari Dewan Undangan Negeri,
PAC akan dipertugaskan untuk memeriksa akaun Kerajaan Negeri, badan-badan
statutori, anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri dan lain-lain perkara yang
dirujuk oleh Dewan kepada Jawatankuasa ini. PAC mempunyai kuasa memanggil
pegawai-pegawai kerajaan dan meminta kertas-kertas dan rekod-rekod Kerajaan
negeri, Jawatankuasa itu juga boleh memanggil orang lain supaya
berhadapannya.
Keanggotaan
adalah seperti berikut:
Pengerusi
YB
Wong Hon Wai (Air Itam)
Ahli-ahli:
(1) YB. Yap Soon Huey
(Pulau Tikus)
(2)
YB. Dr. Norlela binti Ariffin
(Penanti)
(3) YB. Dato' Haji Mohd Salleh Bin Man (Permatang
Pasir)
(4) YB. Dr. Jayabalan a/l A. Thambyappa (Batu Uban)
(5) YB. Tuan Haji Sr. Muhamad Farid Bin Saad (Pulau
Betong)
(6)
YB. Dato' Mahmud Bin Zakaria (Sungai Acheh)
(7) YB. Omar Bin Haji Abdul hamid (Permatang
Berangan)
(8)
YB. Datuk Shah Haedan Bin Ayoob Hussain
(Teluk Bahang)
Hari ini merupakan mesyuarat PAC pertama DUN Pulau
Pinang. Sebagai Pengerusi, saya ingin menggariskan 5 skop kerja.
1.
Memastikan pihak Eksekutif dalam penggunaan dana awam mencapai IEEE iaitu
integrity, economy, effectiveness dan efficiency.
2. Demi
mempertingkatkan Akauntabiliti Awam, Jawatankuasa PAC perlu mempertingkatkan
kekerapan mesyuarat dengan perbincangan
laporan Audit terkini, membuat lawatan ke tapak projek dan anak syarikat
kerajaan negeri, mengkaji kes lama yang belum selesai dan memastikan
syor-syor Jawatankuasa diambil tindakan
oleh Jabatan /Agensi Kerajaan Negeri.
3. PAC akan mengemukakan “Laporan Tahunan PAC” kepada Dewan Undangan Negeri yang
merangkumi butiran mesyuarat, lawatan,
surat-menyurat dan paling penting sekali cadangan pembaikan secara sistem
terhadap kebocoran, keborosan dan ketidakcekapan dalam sistem kewangan Kerajaan
Negeri.
4. Untuk memperbaiki prestasi kerja PAC, PAC
juga akan mengkaji terhadap kekurangan
dari segi Standing Order, staf bantuan
PAC dan kewangan dan melapor kepada Jawatankuasa Peraturan-peraturan Dewan dan Speaker Dewan
Negeri supaya PAC dapat melaksanakan
kerja dengan lebih produktif.
5. Terus berinteraksi dengan Pihak Jabatan
Audit Negara untuk memastikan proses pengauditan dijalankan dengan lebih
menyeluruh, bersepadu dan kekerapan ditingkatkan.
Saya telah menulis
surat pada 9 September 2013 kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato Setia Ambrin
bin Buang dan mengemukakan cadangan supaya persidangan dan taklimat PAC diadakan
supaya anggota-anggota PAC dari Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri boleh
bersidang dan bertukar-tukar fikiran tentang cara memperbaiki proses pengauditan
dan menjadi satu jawatankuasa yang dinamik.
Saya sukacita menyatakan bahawa pejabat saya telah
menerima surat balasan dari Ketua Audit Negara bertairkh 19 September 2013.
Beliau dalam surat menyatakan bahawa Jabatan Audit Negara
sedang merancang untuk mengadakan taklimat kepada ahli PAC semua negeri dan juga
Parlimen. Menurut beliau, taklimat ini dijangka akan diadakan pada awal tahun
2014, memandangkan senarai penuh ahli-ahli PAC hanya akan diketahui pada
November 2013.
Pagi ini Mesyuarat PAC
telah membincangkan laporan Ketua Audit Negara 2011 khasnya tentang isu-isu
pelaksanaan e-Tanah dan memanggil pegawai-pegawai berkenaan dari Pejabat Daerah
Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara untuk memberi keterangan di
depan PAC.
PAC
menunggu-nunggu Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang bakal dibentangkan di
Parlimen pada Oktober 2013 dan akan meneliti laporan tersebut dan memanggil
jabatan-jabatan berkenaan untuk penjelasan lanjut di depan PAC.
No comments:
Post a Comment